Penjagaan peralatan memancing
A. Sukan memancing hari ini diceburi oleh semua golongan
masyarakat.Yang berpendapatan tinggi ,sederhana dan rendah semuanya
ada. Cuma mungkin perbezaan ketara ialah padang pancing dan peralatan
yang digunakan . Peralatan yang mahal tidak semestinya tahan lama kalau
tidak ada perjagaan rapi dan yang murah belum tentu cepat rosak kalau
pandai menjaganya. Samada memancing di laut atau darat, implikasi
masalah tetap sama. Namun memancing air masin lebih tinggi risiko
kerosakan dari memancing air tawar. Kadar oksidasi air masin
mempercepatkan tindakbalas yang menghasilkan karat. Disini diberi
beberapa langkah yang berkesan untuk menjaga peralatan pancing supaya
dapat bertahan lama.
1. Sewaktu pulang dari aktiviti memancing, luangkan sedikit masa dengan
mencuci ataupun melakukan service ringkas untuk semua peralatan yang
digunakan semasa memancing. Kekili dan Joran perlu dibilas dengan air
paip selepas memancing. Pastikan ‘drag’ dan geledung kekili diketatkan
sebelum dibilas. Ia bertujuan mengelakkan air dari memasuki bahagian
dalaman kekili. Jangan sama sekali merendam kekili dalam air semasa
mencucinya. Selepas mencuci biarkan seketika hingga kering dan lapkan
sekiranya terdapat lebihan air terkumpul. Gunakan WD-40 atau minyak
mesin jahit untuk menyembur bahagian yang bergerak terutama pemegang,
dalaman geledung dan sebagainya yang dirasakan perlu. Longgarkan ‘drag’
kekili pada tahap minimum serta pisahkan kekili dari joran sebelum
menyimpannya ditempat tidak tercapai oleh anak-anak. Pemancing tidak
digalakkan menyimpan joran dan kekili didalam bonet kereta terlalu lama
kerana bonet yang berhabuk dan berpasir boleh memendekkan hayat kekili
dan joran.
2. Untuk mata kail jangan campurkan yang telah digunakan bersama-sama
yang baru. Karat akan mudah merebak pada mata kail lain terutama mata
kail jenis tidak tahan karat. Asingkan dalam tempat khas sekiranya
ingin digunakan lagi. Jika mata kail kurang tajam gunakan kikir halus
atau kertas pasir bagi mengasahnya menjadi tajam semula. Disyorkan
gunakan mata kail yang tahan karat kerana ia tahan dan boleh
digunakan berulang kali.
3. Playar adalah salah satu peralatan penting dalam memancing. Jika
pulang dari memancing cuci dengan air , lap dan di sembur dengan WD-40
terutama pada bahagian tengah bagi tidak ketat dan lancar
pergerakkannya.
4. Tali pancing pada geledung perlu diperiksa sebelum turun memancing.
Geledung perlu di jirus supaya air masin tidak terkumpul. Jangan sama
sekali menarik tali yang tersangkut menggunakan joran. Joran akan mudah
patah. Cara seeloknya luruskan joran dan ketatkan ‘drag’ sedikit dan
kemudian tarik tali dengan menggunakan kain. Bagi pemancing tebing atau
pantai, elakkan pasir atau lumpur dari memasuki kekili. Ini boleh
menyebabkan kekili mudah rosak kerana bahan-bahan ini akan bertindak
seperti kertas pasir yang boleh menghakis ‘gear’ dan alas bebola
kekili.
5. Kekili lama yang rosak jangan dibuang kerana ia mungkin ada kegunaan
seperti untuk dijadikan ‘spare parts’ kerana tidak banyak kedai
pancing yang menjual barang gantian untuk kekili.Panduan diatas
dicatitkan mengikut pengalaman saya. Ramai pemancing lain mempunyai
panduan menjaga peralatan pancing masing-masing supaya tahan lama. Ia
nya bergantung kepada pemancing itu sendiri yang menentukan amalan
perjagaan peralatan . Dibawah ini pula saya akan ‘kupas’ secara
terperinci tentang peralatan yang digunakan semasa aktiviti memancing:
B. Tali – Perkara Utama yang harus dilakukan ialah memeriksa ‘tali ibu’
di kekili dengan mempastikan tali tersebut tidak luka atau keras.
Pemancing diingatkan agar tali ibu itu bersesuaian dengan kekili kerana
ada setengah pemancing menggunakan kekili yang kecil tetapi dipadankan
dengan tali yang besar. Anggapan agar mudah menarik ikan yang besar.
Sebenarnya itu satu kesilapan kerana masalah yang kerap timbul ialah;
1. Sukar membuat lontaran jauh dan tepat.
2. Tali mudah keluar dan ‘berserabut’, secara tidak langsung memaksa
pemancing memotong tali bermasalah ini dan ia akan menjadi sedikit
didalam kekili.
3. Tali yang keras pula akan sentiasa ‘bergulung’ dan sukar
menegangkannya dan ini memaksa pemancing menggunakan batu ladung yang
besar namun tanpa disedari tali tersebut sebenarnya telah reput dan
mudah putus.Nasihat kepada pemancing, apakiranya mengeluarkan sedikit
modal membeli tali yang sepadan dan mempunyai kekuatan seimbang dengan
kekili yang digunakan agar tidak berputih mata. Persoalan disini
bilakah anda perlu menukar tali pancing? Catitkan
1. Kekerapan anda menggunakan tali itu.
2. Cara-cara anda menggunakan tali tersebut.
3. Pendedahan tali itu kepada cahaya matahari.
4. Menyimpan tali ditempat yang tidak sesuai.
Perkara yang kerap merosakkan tali pancing (kesimpulan dari masalah diatas)
1. Kekerapan tali pancing menerima tarikan yang kuat bukan saja datang
dari ikan tetapi juga dari diri anda sendiri ketika tali itu tersangkut
pada batu karang atau dahan-dahan kayu didalam air tempat anda
memancing. Kerosakkan teruk adalah pada hujung tali ini secara tidak
langsung melemahkan tali dan bahagian ini harus dipotong.
2. Tali yang pecah dan bertukar warna. Cara memeriksanya mudah dengan
hanya menggunakan jari. Tali yang rosak ini boleh mengurangkan sehingga
50 % kekuatan tali asal. Oleh itu ia harus ditukar segera.
3. Pendedahan yang terlalu lama kepada cahaya matahari terutama
belakang kereta boleh mengakibatkan kerosakkan kepada molekul tali
tersebut. Anda boleh mengesan kerosakkan pada tali dengan melihat
perubahan pada warna dan kekerasan tali. Tempat menyimpan dibawah
tekanan lembab spt. terdedah kepada embun, tempias hujan serta
berhampiran peti sejuk, tv. atau alat penghawa dingin turut merosakkan tali.
4. Bahagian batang pancing yang rosak terutama di ‘cincin’ joran
seperti berkarat dan berkerutu adalah salah satu punca utama tali mudah
rosak, luka dan mudah putus. Oleh itu seringlah mempastikan
perkara-perkara diatas dapat diatasi jika tidak tali terpaksa ditukar
baru.
No comments:
Post a Comment